Forum WIEF ke-14 di Abu Dhabi bincang komponen utama pertumbuhan ekonomi global

2023

Dec  5th

KUALA LUMPUR 5 Dis – Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-14 bersedia untuk meneroka pelbagai tema ekonomi global kritikal yang berpusat sekitar ‘Agenda Ekonomi Global: Membentuk Masa Depan Lestari’.

Bakal berlangsung dari 6 hingga 8 Februari 2024 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), WIEF ke-14 akan menyelami peranan dinamik teknologi dan landskap ekonomi yang berubah-ubah, dengan tumpuan khusus pada pengaruh Asia Timur yang semakin meningkat.

Menurut satu kenyataan media hari ini, Yayasan WiIEF berkata forum itu juga akan meneroka penumpuan teknologi dan amalan lestari, merangka hala tuju baharu untuk pembangunan ekonomi dalam dunia yang mengalami perubahan pesat.

Di samping itu, forum berkenaan turut menawarkan pandangan berhubung peningkatan kepentingan ekonomi Timur Tengah pada skala global.

Pengerusi Yayasan WIEF, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata forum itu adalah peluang untuk menjadi sebahagian daripada perbincangan global yang membentuk masa depan ekonomi di seluruh dunia, merentasi sempadan dan sektor.

“Forum itu berperanan sebagai platform utama untuk membincangkan komponen yang memacu pertumbuhan ekonomi, menawarkan pelbagai sesi pleno, perbincangan panel yang mendalam dan peluang rangkaian,” ujar beliau

Selain itu, satu siri perbincangan panel dan acara rangkaian yang mendalam juga dianjurkan bagi menangani tema kritikal seperti integrasi belia dalam pasaran buruh dipacu kecerdasan buatan (AI), memperkasakan wanita dalam teknologi, pertemuan kewangan Islam dan pelaburan alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG) dan penyelesaian lestari keterjaminan makanan.

Forum itu juga akan menampilkan MOCAfest, sebuah pasaran untuk seni kreatif yang menonjolkan peranan penting industri kreatif dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Acara tersebut menawarkan ruang dinamik untuk artis dari pelbagai latar belakang untuk bersatu, mempamerkan bakat seni unik mereka dan memudahkan pertukaran budaya yang kaya melangkaui sempadan tradisional.

Pendaftaran untuk WIEF ke-14 kini dibuka dan mereka yang mendaftar sebelum atau sebelum 15 Disember akan menikmati diskaun 50%.