Wujud peluang besar bangunkan sukuk biru di rantau Asia – WIEF Powertalk (Bahasa Melayu)

2021

Dec  1st

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Terdapat peluang besar untuk membangunkan lebih banyak sukuk biru atau berasaskan sumber lautan di Asia dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi terbabit, kata Pengerusi Jaringan Kepadatan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Malaysia dan Brunei Ramesh Kana.

Beliau berkata, usaha mewujudkan sukuk biru yang merangkumi inisiatif-inisiatif kewangan melibatkan pemuliharaan sumber laut serta kemudahan pembangunan mampan di wilayah pesisiran pantai, tidak hanya membantu aspek penggunaan secara mampan menerusi pelaburan tetapi turut memastikan daya tahan lautan.

“Peluang bagi sukuk biru ini juga sama seperti sukuk hijau iaitu peningkatan dari segi kekuatan dan jumlahnya.

“Bagaimanapun, ia berdepan kekurangan aspek takrifannya sedangkan bidang ini terus berkembang.

Peraturan dan rangka kerja berkaitan sukuk hijau (sebaliknya) lebih jelas dan berupaya menarik modal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Powertalk 2021 Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) bertajuk ‘Menyelami Lautan Biru : Peluang bagi Teknologi Kewangan (Fintech) Islam,’ hari ini.

Menurut Ramesh, cabaran mewujudkan sukuk biru adalah aspek kekurangan penyelidikan dan pembangunan berkaitan bantuan teknikal bagi pembangunan instrumen terbabit.

“Bon pertama telah disediakan oleh Bank Dunia manakala bank-bank pembangunan lain sedang mengusahakan inisiatif berdasarkan struktur bon sama.

Oleh itu, jika kita mahu membincangkan mengenai sukuk biru, maka kita juga perlu melabur dalam bidang itu,” katanya.

Beliauturut menekankan keperluan bagi institusi kewangan Islam yang kukuh seperti Bank Pembangunan Islam mempertingkat usaha dan bertindak melabur dalam mewujudkan instrumen-instrumen kewangan yang patuh Syariah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pemuliharaan dan Penyesuaian Iklim Seychelles Angelique Pouponneau pula menyifatkan ekonomi biru membantu memastikan perlindungan serta penggunaan lautan secara mampan yang dapat menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Selain aspek penjanaan kekayaan dan membasmi kemiskinan, pada masa sama kita juga mahu memastikan ekosistem ini sihat serta dapat diuruskan secara mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat Pihak Berkuasa Pasaran Modal Oman Kemal Rizadi Arbi berkata perikanan merupakan kawasan tumpuan utama ekonomi biru di negara tersebut, negara itu kini dalam proses mengenal pasti kaedah sesuai untuk meningkatkan sektor sukuk biru.

“Oman adalah negara kedua terbesar dalam Majlis Kerjasama Teluk dan kita sedang mengenal pasti pembiayaan alternatif sebagai pengupaya pembangunan mampan.

“Ini seiring dengan wawasan Oman 2040 untuk menggalakkan pembangunan mampan dan keterangkuman kewangan,” katanya.

— BERNAMA.

Click here to view the original piece of the article.