Rangkuman Kewangan Melalui Kewangan Mikro Islam Pastikan Ekonomi Mampan – WIEF (Bahasa Malaysia)

2017

Aug  17th

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) — Industri kewangan mikro yang berkembang pesat memberi sokongan kepada ekonomi berikutan ia lebih berdaya tahan berbanding sektor perbankan tradisional dan menyediakan akses yang lebih baik kepada rangkuman kewangan, kata Pengerusi Forum Yayasan Ekonomi Islam Dunia Tun Musa Hitam.

Beliau berkata rangkuman kewangan menjadi penyelesaian terbaik untuk memastikan ekonomi mampan dan industri berkembang dengan pesat, memenuhi keperluan demografi yang ketinggalan disebabkan pendapatan yang rendah.

“Membantu golongan miskin dengan kemudahan dan perkhidmatan kewangan mikro membantu mereka mengurus risiko, membina aset dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, dan ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut statistik daripada Bank Dunia, dianggarkan dua bilion golongan dewasa di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada kemudahan dan perkhidmatan kewangan asas.

Rangkuman kewangan yang lebih baik akan mengubah cara syarikat, korporat dan pengguna respons kepada perkembangan kewangan dan seterusnya memberi kesan kepada kecekapan dasar monetari, katanya.

“Rangkuman yang lebih luas akan mendorong kadar faedah menjadi dasar yang lebih berkesan untuk memudahkan penyelenggaraan kestabilan harga,” katanya.

Musa berkata kemudahan dan prinsip kewangan mikro Islam dalam ASEAN akan memberi pulangan yang besar apabila melibatkan komuniti berpendapatan rendah untuk menyumbang kepada ekonomi.

Kewangan mikro Islam mempunyai potensi untuk memenuhi permintaan selain menggabungkan prinsip sosial Islam yang prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik dalam menyediakan pilihan dan akses kewangan yang lebih baik kepada mereka, katanya.

Beliau berkata usaha dan peranan yang kukuh, berterusan dan bersepadu yang dimainkan oleh kerajaan serantau menyokong pertumbuhan kewangan mikro Islam di rantau ini.

Musa juga berkata kewangan mikro Islam menyediakan lebih banyak pilihan dari segi bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan aktiviti mereka.

Di ASEAN, syarikat pemula niaga dan PKS dijangka menjadi penyumbang ekonomi yang berkembang pesat pada abad akan datang dan ekosistem keusahawanannya telah mencapai pelbagai penilaian permulaan sebanyak US$1 bilion.

Dalam negara, industri kewangan mikro telah memberi manfaat bukan sahaja segmen B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) tetapi juga lebih satu juta perusahaan mikro di negara ini. “Kami percaya masa depan kewangan mikro Islam tidak terhad. Sudah tiba masanya bagi kita meningkatkan kewangan mikro Islam ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Industri kewangan mikro Islam di Malaysia mula meningkat dan berkembang pesat dengan banyak institusi menyokong inisiatif pembangunan sosio-ekonomi negara.

Perkembangan ini disokong oleh saiz industri kewangan Islam yang besar yang akan mencecah US$2.7 trilion menjelang akhir 2017 di peringkat global.


This article was published at BERNAMA website on 17 August 2017.
Click here to view the original piece of the article.

Similar story in:

Financial Inclusion Via Islamic Microfinance Ensures Economic Sustainability, Says WIEF
BERNAMA 17/8/17
Click here to view the original piece of the article.

Financial inclusion through Islamic microfinance
Khmer Times 18/8/17
Click here to view the original piece of the article.