Perjalanan Intelektual Fazil (Bahasa Malaysia)

2012

Jun  30th

MENGETUAI sebuah organisasi bertaraf antarabangsa pada usia muda pasti menjadi idaman setiap individu yang berwawasan.

Namun, tidak ramai yang berpeluang mengecap impian tersebut. Lantaran itu, tidak hairanlah jika perasaan bangga bertandang dalam hati andai diri berjaya menyandang sesuatu jawatan penting dalam sesebuah organisasi terkemuka.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF), Fazil Irwan Mohd. Som memberi satu perspektif berbeza.

Pemuda berusia 33 tahun itu lebih mementingkan kesan positif yang diterima masyarakat dalam setiap perkara yang dilakukan yayasan tersebut terutama bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan muda di negara ini.

“Bagi saya, dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, apabila matlamat dan niatnya betul, kita pasti akan melakukan yang terbaik tanpa mengharapkan sebarang balasan kerana yang menilai kita bukan manusia tetapi Tuhan.

“Justeru, kepuasan akan dirasai apabila kita berjaya membantu seseorang walaupun ia sekadar pertolongan kecil, namun tinggi nilainya di sisi mereka yang dibantu,” ungkap Fazil.

Yayasan WIEF ditubuhkan pada tahun 2006 untuk mengendalikan forum ekonomi Islam sedunia yang dijalankan setiap tahun. Ia bertujuan untuk mengukuhkan pertalian ekonomi sesama negara-negara Islam dan juga bersama negara-negara bukan Islam di seluruh dunia melalui peningkatan perdagangan dan aktiviti perniagaan.

Lontaran idea

Forum itu bermula dengan nama Forum Perniagaan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sempena kemuncak OIC ke-10 di Pusat Konvensyen Putrajaya pada Oktober 2003. Setelah dua kali dikendalikan, forum ini bertukar nama kepada Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang merangkumi orang-orang Islam bukan sahaja di negara-negara OIC, tapi di seluruh pelosok dunia.

WIEF yang pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2005, diikuti dengan Pakistan (2006), Kuala Lumpur (2007), Kuwait (2008), Jakarta, Indonesia (2009), Kuala Lumpur (2010) dan Astana, Kazakhstan (2011).

Fazil yang turut mengetuai Young Leaders Network (WYN) di Yayasan WIEF dilihat mempunyai karisma tersendiri dalam melaksanakan tugas besar tersebut.

Keberanian beliau dalam melontarkan idea dan pandangan yang dirasakan benar menjadi satu kelebihan buat bapa kepada seorang cahaya mata itu. Menurut Fazil, sejak kecil dia memang suka bercakap dan mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam.

“Seingat saya, pada usia tujuh tahun, saya sudah mula banyak bertanya pada diri sendiri tentang hal ehwal dunia seperti ketidakadilan, kebuluran, kemiskinan dan sebagainya. Saya selalu terfikir kenapa ia terjadi begitu dan mengapa begini?

“Apabila masuk ke sekolah menengah, karakter itu semakin menyerlah. Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu, maka segala macam soalan akan saya tanya,” jelas Fazil dalam satu temu bual bersama Kosmo! di pejabatnya di Kompleks Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ternyata, karakter banyak bercakap dan bertanya membawa seribu hikmah dalam kehidupan Fazil. Hasil daripada sikap sedemikian, maka bermulalah perjalanan intelektual Fazil untuk memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam lebih-lebih lagi tentang Islam.

Fazil memberitahu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia melanjutkan pelajaran di peringkat A-Level di Kolej Tutorial Bosworth, Northampton, United Kingdom (UK). Pada tahun 2001, anak kedua daripada tiga beradik itu berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam jurusan Pengajian Ekonomi dan Antarabangsa dari Universiti Warwick, UK.

Pengalaman di Sepanyol

Pengalaman berada di luar negara membuatkan Fazil melihat bahawa Islam itu amat besar ruang lingkupnya dan tidak terhad. Apatah lagi apabila mengenali orang Islam yang bukan terdiri daripada kaum Melayu.

“Seorang rakan baik dari Madrid, Sepanyol bernama Santiago memperkenalkan saya kepada sejarah Islam di Andalusia.

“Setelah beberapa kali ke Sepanyol, saya menyedari bahawa Islam yang telah bertapak di Sepanyol lebih daripada 700 tahun, bukan agama yang terkongkong sebaliknya agama yang mencetuskan revolusi intelektual di Eropah dan mencipta tamadun harmonis berbilang agama yang termasyhur di dunia.

“Kemudian saya berfikir, adakah Islam yang difahami sekarang bersifat begitu? Justeru, saban waktu momentum perjalanan intelektual saya semakin rancak dan menambahkan lagi pemahaman saya tentang kebesaran dan keagungan agama yang suci ini,” terang Fazil.

Apabila pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya di UK, idealistik Fazil kembali melingkari kehidupan apabila bertugas sebagai pembantu penyelidik khas kepada arwah Tan Sri Noordin Sopiee iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

“Di ISIS, walaupun cuma dua tahun, ia seolah-olah melengkapkan kembara intelektual saya. Di situ saya menyedari bahawa orang Islam dan juga orang bukan Islam memainkan peranan yang sama penting untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bermoral, harmonis dan cenderung kepada kejayaan,” tuturnya yang kemudian memperoleh biasiswa daripada British Chevening untuk mengambil Master dalam Pengajian Asia Tenggara di School of Oriental & African Studies (SOAS), London pada 2004.

Rentetan daripada itu, Fazil mula mengambil peluang untuk menulis apa yang dipraktikkan dalam kehidupan. Tesis bertajuk, The Dialectic of Islam & Ethnicity in Malaysia yang menjadi pilihan untuk dihasilkan dalam pengajian peringkat sarjana itu, mencerminkan pengembaraan intelektualnya sejak kecil hingga sekarang.

“Harapan saya apabila menulis tesis berkenaan, rakyat Malaysia beragama Islam dan masyarakat bukan Islam akan sedar dan membuka minda mereka tentang agama ini. Islam bukan agama kuno tetapi sebaliknya agama yang memerdekakan minda daripada segala jenis masalah ciptaan manusia. Sejarah telah mengajar kita tentang keupayaan sebenar agama suci ini,” ujarnya.

Sejurus pulang dari SOAS, pada pertengahan tahun 2006 Fazil mendapat tawaran bekerja daripada Yayasan WIEF sebagai pembantu penyelidik kepada Tun Musa Hitam yang juga pengerusi yayasan tersebut.

Bermula 2007, WYN ditubuhkan dan beliau bertanggungjawab memikirkan perancangan yang perlu dilaksanakan.

Antara program yang telah dianjurkan WYN termasuklah Program Internship, siri program Marketplace of Creative Arts. Ia merupakan platform untuk golongan seni mempamerkan bakat sekali gus membina rangkaian baharu sebagai jambatan melibatkan diri dalam peluang perniagaan di bidang tersebut.

Setakat ini, sebanyak empat siri Marketplace telah dijayakan iaitu di Malaysia (2010), Singapura dan Kazakhstan (2011) dan Indonesia (2012). Ia turut melibatkan penyertaan artis kreatif dari luar negara seperti Oman, Kazakhstan, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Belanda dan beberapa negara lain.


This article was published at Kosmo! Online website on 30th June 2012.
Click here to view the original piece of the article.