Artis Kreatif Malaysia sertai Festival Bandung (Bahasa Malaysia)

2012

Apr  12th

KUALA LUMPUR — Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Tun Musa Hitam akan mengetuai delegasi artis kreatif Malaysia ke Bandung, Indonesia sempena program Marketplace of Creative Arts siri keempat yang dijadualkan pada 14-15 April.

WIEF dalam kenyataan hari ini berkata festival seni dua hari itu akan mengumpulkan 34 artis muda berbakat dari rantau Asia dalam pelbagai genre seni iaitu muzik, filem, puisi, persembahan visual dan seni, penari jalanan dan lain-lain.

“Ia adalah platform untuk artis muda yang kreatif menampilkan bakat mereka, membina rangkaian dalam industri kreatif, menerokai peluang perniagaan dalam dunia seni,” katanya. Antara artis Malaysia yang akan menonjolkan bakat kreatif mereka di Bandung termasuk penyanyi/penulis lirik Amir Jahari, pemain violin Nisa Addina, pembuat filem Syahrul Fithri Musa dan kumpulan penari Aswara. Bertemakan ‘Design Nation: Carving Creative Spaces’ festival itu dianjurkan bersama oleh Yayasan WIEF dan Bandung Creative City Forum. Kenyataan itu berkata Musa akan diiringi oleh Setiausaha Agung Yayasan WIEF Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.


This article was published at Sinar Harian website on 12th April 2012.
Click here to view the original piece of the article.