Meja Bulat Yayasan WIEF di Pulau Pinang membincangkan strategi pemulihan ekonomi mampan (Bahasa Melayu)

2022

Aug  15th

GEORGE TOWN, 15 Ogos  (Bernama) — Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia  (WIEF) akan mengadakan persidangan Meja Bulat ke-17 di Pulau Pinang bagi membincangkan strategi pemulihan mampan dalam membina ekonomi yang berdaya tahan dan stabil di peringkat nasional, serantau dan global.

Pengerusi Yayasan WIEF, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, persidangan meja bulat itu akan menampilkan lima topik iaitu Memperkasakan Semula Ekonomi; Pemetaan Pemulihan yang Mampan; Peralihan Sifar Bersih: Tindakan Segera yang Diperluaskan; Revolusi Transformasi Digital: Penerimaan Teknologi; Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim: Penawaran Peluang; dan Menghidupkan Semula Wakaf: Peranan Kewangan Islam.

“Pulau Pinang merupakan lokasi pelaburan yang menarik dan ia terus berkembang maju hari ini. Usahanya ke arah pertumbuhan dan memberi nafas baharu ekonomi disebabkan oleh minat dan pelaburan daripada pelabur tempatan dan asing.

“Persidangan Meja Bulat itu juga akan membincangkan pelbagai peluang perdagangan dan pelaburan di Pulau Pinang. Tambahan pula, negeri itu memiliki banyak pengalaman dalam Wakaf yang boleh dikongsi dengan pemain-pemain lain,” katanya pada sidang media Meja Bulat WIEF ke-17 di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan Meja Bulat itu mampu menjana banyak minat dan kesedaran tentang potensi ekonomi di Pulau Pinang dan ia akan menyerlahkan pertumbuhan pesat ekonomi di negeri itu, walaupun sebelum ini terdapat sekatan pergerakan dan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.

Tambahan pula, beliau berkata apa yang menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan yang menarik ialah ekonominya yang kukuh terutamanya dalam industri seperti IT, pembuatan dan pelancongan. Sehubungan itu, perbincangan Meja Bulat akan menampilkan pelbagai transformasi digital dalam perdagangan serta peluang pelaburan, merentasi semua sektor ekonomi.

Persidangan Meja Bulat itu yang bertemakan “Economic Rebound: Transforming the Future”, akan diadakan pada 27 Sept di Pusat Konvensyen Setia SPICE, yang mana akan mengumpul lebih 300 peserta termasuk pembuat keputusan utama, pemimpin kerajaan negeri, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan usahawan dari seluruh dunia.

Click here to view the original piece of the article.

Click here to view related article.