Kuching anjur Forum Ekonomi Islam Dunia Ke-13 (Bahasa Malaysia)

2017

Jul  13th

KUCHING: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13, yang akan diadakan di sini dari 21-23 Nov, 2017, akan meneroka cara perniagaan dapat bersedia, menyesuaikan dan memanfaatkan peluang yang wujud dalam tempoh semasa yang dinamik.

Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam, berkata forum yang bertemakan ‘Perubahan Inovatif: Impak dan Cabaran’, akan mencerminkan transformasi yang dialami dunia berikutan idea dan teknologi yang inovatif.

“Penggiat industri semasa dan akan datang akan mempunyai peluang untuk berkongsi pandangan mengenai impak dan cabaran daripada perubahan yang inovatif serta merangka landskap perniagaan global yang lebih mampan dan ke hadapan.

 

“Sejak edisi pertama, forum tersebut, dalam tempoh lima tahun lepas telah menyaksikan kejayaan perjanjian perdagangan berjumlah AS$13 bilion (AS$1 = RM4.28),” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Musa berkata WIEF mempunyai jumlah negara yang mengambil bahagian lebih dua kali ganda – dengan peserta daripada semua saiz ekonomi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata negeri itu menawarkan pengalaman baharu kepada para peserta dengan keindahan alam semula jadinya dan kepelbagaian budayanya yang unik.

Katanya Sarawak diberi penghormatan untuk menganjurkan forum itu, sambil menambah bahawa rekod prestasi WIEF dalam menjalin kerjasama antara negara dipamerkan melalui kerjasama dengan Sarawak, terutamanya negeri yang dijangka menjadi koridor pertumbuhan yang seterusnya di Malaysia.

“Kami berharap dapat menarik pelaburan daripada industri yang selaras dengan matlamat dan nilai kami untuk mengukuhkan prospek ekonomi Sarawak,” katanya.

-BERNAMA


This article was published at BERNAMA website on 13th July 2017.
Click here to view the original piece of the article.

This article was published at Astro Awani website on 14th July 2017.
Click here to view the original piece of the article.

This article was published at Sarawak Voice website on 14th July 2017.
Click here to view the original piece of the article.

This article was published at portalpiyungann website on 14th July 2017.
Click here to view the original piece of the article.