Forum tahunan beri peluang ahli perniagaan, pemimpin susun strategi perluas rangkaian
PENGANJURAN Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) menggunakan pendekatan makro meneruskan tumpuan mengumpulkan ketua negara dan ahli perniagaan serantau untuk membincangkan idea, mewujudkan rangkaian dan meninjau peluang perniagaan merentasi sempadan. Justeru, forum tahunan dianjurkan buat kali keenam yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) 18 hingga 20 Mei depan bertemakan ‘Persiapan Ke Arah Kebangkitan Ekonomi’ tidak menetapkan pelan khusus bagaimana menghadapi situasi ekonomi semasa.
Sebaliknya, Pengerusi Wief, Tun Musa Hitam, berkata perjumpaan peserta dari seluruh dunia pada forum itu nanti akan memberi peluang Wief mengenal pasti bidang keutamaan yang boleh diberi tumpuan ke arah peningkatan ekonomi lebih baik. “WIEF akan terus menjadi landasan menemukan pemimpin dunia serta pakar industri untuk melihat isu global yang mempengaruhi perdagangan”
Musa Hitam
Pengerusi WIEF
“Umur Wief baru lima tahun dan akan terus menjadi landasan menemukan pemimpin dunia serta pakar industri untuk melihat isu global yang mempengaruhi perdagangan. Apabila ahli perniagaan berjumpa dan melihat peluang yang ada, mereka tahu tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
“WIEF hanya memudahkan mereka tetapi dengan minat ditunjukkan melalui penyertaan kian bertambah dari setahun ke setahun, saya bangga kita dapat membangun dan menganjurkan Wief,” katanya pada majlis pelancaran Forum Wief ke-6 di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, WIEF sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana aktiviti itu menguasai pembangunan ekonomi negara Islam termasuk Malaysia.
Kepentingan membangunkan PKS juga mendorong Wief menganjurkan forum wilayah pertamanya yang akan berlangsung di Bangladesh untuk membincangkan perkara berhubung kait pembangunan PKS sebelum perjumpaan Wief seterusnya di Kazakhstan. Musa berkata, pelbagai pihak mengakui ekonomi global sedang melalui proses pemilihan tetapi sama ada mendatar atau menaik tidak dapat dipastikan kerana kebanyakan negara sekarang ini lebih menumpukan ke arah menstabilkan ekonomi masing-masing.
Katanya, sementara seluruh dunia berusaha memperbaiki ekonomi, keadaan di dunia Islam pula tidak menampakkan pergerakan.
Oleh itu, sasaran Wief ialah untuk menjadi permulaan dalam menghubungkan ahli perniagaan dunia Islam membina rangkaian dan pada masa sama membincangkan isu berkaitan pembangunan negara memandangkan persekitaran dunia Islam berbeza dengan negara lain.
Bagaimanapun katanya, perjumpaan peserta forum Wief ke-6 tidak akan menutup pintu kepada negara bukan Islam untuk terbabit sama kerana hidup dalam dunia global tidak logik bagi negara Islam berada dalam blok sendiri.
Sejak penganjurannya ketika Malaysia menjadi Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), WIEF menjadi perhatian dunia dengan lebih ramai ketua negara dan ketua kerajaan negara Islam menyertainya serta menawarkan diri untuk menjadi penganjur forum.
Pemimpin negara Islam sedar Wief adalah wadah untuk berinteraksi dengan komuniti ahli perniagaan Islam dari seluruh dunia dan membuat keputusan berhubung peluang perniagaan di negara masingmasing serta menjalin hubungan perniagaan di antara negara.
Forum WIEF ke-6 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka turut dihadiri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono; Presiden Senegal, Abdoulaye Wade; Presiden Syria, Bashar al-Asad; Presiden Maldives, Mohamed
Nasheed; Perdana Menteri Pakistan, Syed Yousuf Raza Gilani; Perdana Menteri Kazakhstan, Karim Masimov dan Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia.
Antara penceramah yang akan hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; berkas Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz; bekas Menteri Luar Thailand, Surin Pitsuwan dan Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB), Dr Ahmed Mohamed Ali.
Pada forum kali ini, lapan sesi serentak akan membincangkan isu berkaitan pelancongan, logistik, PKS, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pembelajaran, perusahaan dan etika perniagaan, inovasi serta perbankan Islam.
Musa berkata, keyakinan melalui penyertaan ketua negara dan ahli perniagaan seluruh dunia adalah kayu pengukur kepada kejayaan Wief serta bukti pengiktirafan terhadap penganjuran forum bertaraf dunia itu.
Beliau berkata, menjadi harapannya supaya Wief menjadi jenama produk Islam yang dilihat secara lebih positif dan praktikal yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara langsung dalam bidang perniagaan.
“Ini penting kerana Islam sering diberi imej dan persepsi negatif oleh komuniti global. Oleh itu kita memerlukan bukti praktikal yang substantif untuk menunjukkan kesungguhan masyarakat Islam meningkatkan ekonomi mereka,” katanya. Katanya, Wief akan terus memainkan peranan demi mencapai matlamat jangka panjang melihat kebangkitan ekonomi Islam dengan menghasilkan peluang perniagaan, pekerjaan dan permodenan kepada negara Islam.
Saya harap boleh beritahu pencapaian hebat Wief tetapi buat masa ini kita melakukan yang terbaik, fokus dan apabila peranan Wief dikembangkan, Wief akan jadi lebih penting serta dikenali,” katanya.
This article was published at Berita Harian Online website on 12th March 2010.
Click here to view the original piece of the article.